Untuk berdagang dan melabur saham, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah membuka akaun CDS. Akaun CDS ialah akaun dimana saham-saham anda direkodkan. Anda boleh bayangkan ia seperti akaun bank, namun ia menyimpan saham anda dan bukannya wang.

Pada masa dahulu, jika anda membeli saham sesuatu syarikat, anda akan menerima satu sijil saham (stock certificate). Seiring dengan pergerakan masa dan wujudnya sistem perkomputeran dan internet, maka sijil saham ini tidak digunakan lagi dan hanya disimpan sebagai rekod-rekod dalam sistem pangkalan data. Sistem ini bagi Bursa Malaysia dipanggil CDS.

CDS bermaksud "Central Depository System". Ia dikawal oleh Bursa Malaysia Berhad melalui anak syarikatnya Bursa Malaysia Depository Sdn. Bhd. Pelabur yang ingin berdagang saham dan lain-lain sekuriti perlu membuka akaun CDS ini melalui syarikat-syarikat broker saham yang disahkan, atau nama teknikalnya "Authorised Depository Agents (ADA)".

Terdapat lebih dari 20 syarikat broker yang ada. Yang popular antaranya ialah seperti Maybank Investment Bank, RHB Investment Bank, Malacca Securities, UOB Kay Hian Securities, dan sebagainya. Anda boleh melihat senarai penuh syarikat-syarikat ini sini laman web Bursa Malaysia.

Terdapat dua jenis akaun CDS iaitu "direct" dan "nominee". Dengan akaun direct anda memiliki dan mengawal penuh akaun anda. Jika akaun nominee pula sebenarnya akaun CDS anda dimiliki oleh syarikat broker, tetapi anda salah seorang penama di dalam akaun ini. Perbezaan antara jenis-jenis akaun ini dipaparkan di bawah:


DirectNominee
Nama akaunDi bawah nama pemegang sahamDi bawah nama syarikat broker, pemegang saham sebagai penama
Permohonan IPODibenarkanTidak dibenarkan
Kertas kerja berkenaan "corporate exercise"Perlu urus sendiriBoleh diuruskan oleh syarikat broker (sedikit cas mungkin dikenakan)
DividenMasuk terus ke akaun bank pemegang sahamMasuk ke akaun trust dengan syarikat broker
Menghadiri mesyuarat agungDibenarkanPerlu mendapatkan surat dari syarikat broker
Laporan TahunanDihantar kepada pemegang sahamPerlu dapatkan dari syarikat broker
Pemindahan sahamKe akaun sendiri atau saudara/warisKe akaun sendiri sahaja

Memegang akaun direct sebenarnya lebih banyak kelebihan, terutama berkenaan permohonan IPO (Initial Public Offering). Namun dengan akaun nominee mungkin pengurusan beberapa perkara menjadi lebih mudah. Proses membukanya pun lebih pantas. Jadi bergantung kepada keperluan anda, semasa membuka akaun CDS dengan syarikat broker, pastikan dahulu ia jenis yang mana.

Semasa anda membuka akaun dengan syarikat-syarikat broker ini, anda sebenarnya membuka akaun "trust", selain dari akaun CDS tadi. Untuk melabur syarikat broker akan memerlukan anda untuk mendeposit wang anda ke dalam akaun trust. Bila anda membeli saham, wang di dalam akaun trust ini akan digunakan dan saham yang dibeli akan dikreditkan ke dalam CDS anda. Begitu juga sebaliknya ketika menjual saham. Wang dari akaun trust boleh dikeluarkan semula ke akaun bank peribadi anda jika anda ingin mengutip keuntungan anda atau jika anda tidak mahu berdagang saham lagi.

Bursa Malaysia ada menyediakan satu applikasi mudah alih dipanggil Bursa Anywhere. Melalui applikasi ini anda boleh melihat semua akaun CDS yang anda miliki di dalam satu tempat walaupun didaftarkan dari syarikat broker berbeza. Fitur yang terdapat dalam applikasi ini antara lain ialah anda boleh semak penyata anda, aktifkan kembali akaun yang tidak aktif, pindahkan saham antara akaun CDS yang anda miliki, dan lain-lain.

Asas 10 September 2020