Saham mewakili "pemilikan" kepada sesuatu syarikat. Apa itu sebenarnya saham dan bagaimanakah ia diperdagangkan? Mari kita lihat contoh mudah dalam cerita berikut untuk memahami apa itu saham.


Katakan Mokhtar dan Lim berkongsi membangunkan suatu syarikat. Mereka sama-sama menyumbang modal dan bersetuju dengan pemilikan sama rata antara mereka, iaitu masing-masing memiliki 1/2 atau 50% hak kepada syarikat tersebut.


Setiap hujung tahun keuntungan syarikat kemudian dibahagi antara mereka mengikut pecahan atau peratusan pemilikan masing-masing. Pembahagian ini diagih sebagai dividen.


Setelah beberapa tahun syarikat berkembang dengan pesat. Melihat kepada keuntungan yang diperolehi, sahabat mereka Ananda berminat untuk untuk menjadi pemilik syarikat tersebut juga dan ingin mendapat sebahagian untungnya saban tahun.


Dengan sejumlah wang tertentu Mokhtar setuju untuk menjual 10% pemilikan syarikat itu kepada Ananda. Lim pula ingin menjual 20%. Maka kini Mokhtar memiliki 40% dari syarikat, Lim 30%, dan Ananda 30%. Hujung tahun keuntungan dibahagi mengikut peratusan tersebut.


Pada suatu masa, Lim bercadang untuk membuka perniagaan lain dan memerlukan wang. Dia pun menjual kesemua pemilikan syarikat tersebut kepada Ainon dengan jumlah wang yang setimpal dengan nilai syarikat pada masa itu. Lim mendapat wang berganda dari jumlah asal yang dilaburkannya. Ainon membeli dengan harapan untuk merasa juga untung dari syarikat itu setiap tahun.


Pemilikan syarikat dinilaikan kepada unit-unit saham. Sebahagian unit saham itu dipegang oleh pemilik-pemilik asal syarikat, dan sebahagian ditawarkan dan dijual kepada orang ramai melalui transaksi menerusi Bursa Malaysia. Dengan cara itu syarikat mendapat modal yang diperlukan. Pembeli-pembeli saham itu menjadi pemilik-pemilik syarikat tersebut dengan peratusan mengikut jumlah unit saham yang dipegang, dengan harapan boleh juga mengecapi keuntungan syarikat tersebut.


Unit saham syarikat tersebut juga dijual beli antara pada pedagang dan pelabur saham. Ada yang merasa syarikat akan membuat keuntungan besar maka bersedia membeli saham tersebut pada harga yang lebih tinggi. Ada pula yang merasa harga saham terkini sudah cukup untuk memberi pulangan yang baik berbanding jumlah yang dilaburkan dahulu, maka dia menjualnya. Ada yang mahu makan dividen setiap tahun atau setiap suku tahun, maka sahamnya diperamkan sahaja dan dia mendapat keuntungan secara berkala.


Pemegang saham adalah pemilik syarikat atau shareholder, tidak kira jumlah saham itu sedikit atau banyak. Pemegang saham yang besar sudah tentu akan mempunyai hak yang lebih seperti hak undian dalam Mesyuarat Agung Tahunan atau mendapat kerusi menjadi Lembaga Pengarah. Namun bagi pemegang saham yang lain juga tiada siapa dapat menghalang mereka dari berbangga menjadi pemilik syarikat besar, walaupun mungkin peratus pegangannya sangat-sangatlah kecil.


Begitulah suatu cerita ringkas berkenaan saham. Dalam siri penulisan lain kita akan dalami lagi konsep-konsep dan terma-terma lain dalam perdagangan dan pelaburan saham.

Asas 01 September 2020