Seperti yang telah diulas dalam artikel yang lalu, carta Candlestick adalah antara jenis carta yang terbaik untuk membuat analisa dalam saham. Kali ini kita akan melihat carta ini dengan lebih dekat.

Carta Candlestick ini dikatakan telah direkacipta pada kurun ke-18 oleh seorang pedagang beras dari Jepun bernama Munehisa Homma. Ia telah diperkenalkan ke barat dan serata dunia pada amnya oleh Steve Nison dalam bukunya "Japanese Candlestick Charting Techniques". Penggunaannya terus berkembang sehingga menjadi sinonim dengan analisa pedagangan saham, matawang, derivatif, dan sebagainya.

Carta Candlestick ini memaparkan pergerakan harga saham mengikut tempoh masa (timeframe) yang dipilih. Sebagai contoh, jika memilih timeframe daily, setiap "candle" mewakili harga pada setiap satu hari. Satu candle menunjukkan harga pembukaan pada hari tersebut (open), harga penutup pada hari tersebut (close), harga tertinggi (high), dan harga terendah (low). Jika pada timeframe weekly, maka ia mewakili harga-harga tersebut pada setiap minggu. Begitu juga dengan hourly, setiap minit, dan sebagainya.

Satu candle terdiri dari komponen "real body" dan "shadow" (juga dipanggil "wick" atau "tail"). Harga open dan close digunakan untuk menjadi sisi atas dan sisi bawah satu kotak yang menjadi body candle tersebut. Jika harga close lebih tinggi dari open, kotak ini diisi dengan warna putih. Jika sebaliknya ia diisi hitam. Ada juga yang gemar menggunakan warna hijau dan merah menggantikan putih dan hitam. Dari sisi atas body, satu garisan dilukis sehingga harga high untuk membentuk "upper shadow". Dan dari sisi bawah, garisan ke harga low dilukis untuk membentuk "lower shadow".

Dengan melihatkan pada sifat body dan shadow candle tersebut, kita dapat simpulkan banyak perkara sebenarnya mengenai pergerakan harga pada tempoh tersebut. 

Bentuk candle yang panjang menunjukkan pergerakan besar berlaku pada tempoh tersebut. Ini membawa maksud harga saham dalam keadaan volatile. Candle yang kecil menunjukkan tiada minat membeli atau menjual, ataupun pembeli dan penjual sama kuat dan sedang setuju dengan harga saham semasa.

Jika ada satu candle putih yang ada body sahaja dan tiada shadow, maka itu bermaksud harga saham dibuka pada satu harga dan ditutup pada harga tertingginya. Candle seperti ini menunjukkan tekanan belian yang kuat. Begitu juga sebaliknya jika candle hitam, ia menunjukkan tekanan jualan yang kuat.

Jika candle mempunyai shadow yang panjang dengan body yang kecil, ini bermakna pembeli dan penjual telah berperang harga menyebabkan harga bergerak dengan banyak. Dengan melihat kedudukan body candle sama ada dekat dengan bahagian atas atau bawah, kita boleh membuat keputusan sama ada pembeli atau penjual yang memenangi pertempuran tersebut. Melalui candle seperti ini kita dapat mengagak adakah harga akan naik atau turun pada candle seterusnya.

Dengan melihat pada satu candle atau jujukan beberapa candle, kita dapat melihat "candlestick pattern" yang terbentuk. Corak-corak tertentu membantu kita menafsir keadaan harga pada waktu semasa dan juga menduga pergerakan harga pada masa hadapan. Ia tidaklah menjadikan kita ahli nujum negara, tapi melalui kajian sekian lama yang telah dilakukan, candlestick pattern memang terbukti dapat menunjukkan kebarangkalian arah mana harga akan bergerak kemudian hari.

Asas 09 September 2020 #technical