Harga saham berubah setiap masa ia didagangkan mengikut permintaan dan penawaran. Tiada cara yang lebih baik untuk melihat pergerakan harga saham saban masa ini melainkan divisualisasikan melalui carta dan graf.


Ada beberapa cara harga saham diplotkan sebagai carta. Cara paling mudah mungkin menggunakan carta garis (line chart). Paksi-x untuk mewakili masa dan paksi-y mewakili harga. Garis di carta menunjukkan harga saham tersebut pada masa tertentu. Contoh dibawah menunjukkan pergerakan harian harga saham untuk kaunter TM.



Namun harga saham itu bukan "satu" harga sahaja dalam tempoh masa tertentu. Contohnya dalam tempoh masa sehari, pada permulaan pasaran dibuka dijual dan dibeli pada harga permulaan yang panggil "open". Sepanjang hari tersebut, harganya saling bertukar turun dan naik, sehinggalah didagangkan pada penghujung hari pada harga "close". Harga tertinggi yang dapat dicapai oleh saham itu pada hari itu dipanggil "high" dan terendah dipanggil "low".


Dalam carta garis chart diatas, harga yang diplotkan hanyalah harga close. Harga close ini sudah cukup biasanya untuk para pelabur menentukan pergerakan dan prestasi saham tersebut. Namun bagi pedagang dan pelabur yang inginkan maklumat yang lebih lagi dalam carta mereka, kebanyakannya akan menggunakan carta "candlestick".



Dengan carta candlestick ini, keempat-empat harga open, high, low, dan close dapat ditunjukkan serentak didalam carta. Ia terbukti dapat membantu para pedagang dan pelabur untuk meneliti situasi semasa saham tersebut dan membuat keputusan yang lebih tepat.


Selain dari carta candlestick, ada juga carta lain sepertinya yang carta OHLC yang juga dapat menunjukkan maklumat yang sama seperti candlestick.



Rata-rata mengikut pengamatan kami lebih ramai yang menggunakan candlestick. Namun ada juga yang menggunakan OHLC khususnya dalam bahan media bercetak kerana lebih ringkas (dan jimat dakwat). Terpulanglah carta mana satu yang ingin anda digunakan, sudah tentu ia mengikut citarasa atau preference masing-masing.


Ada lagi jenis-jenis carta lain untuk memplotkan harga saham ini seperti Heikin Ashi, Renko, Point & Figure, dan lain-lain. Sebahagiannya tidak begitu popular, tapi dapat menunjukkan maklumat sifat saham tersebut dari sisi lain selain harganya sahaja. Mungkin kita akan sentuh sedikit dalam siri penulisan yang lain.


Carta saham ini menjadi padang permainan bagi para pedagang dan pelabur saham dalam mencorak strategi mereka. Untuk berjaya sebagai pemain saham, tidak dapat tidak anda mesti menguasai secekap-cekapnya carta saham ini. Sehingga seni membaca carta itu menjadi "second nature" bagi anda. Sekilas garis dicarta, sudah anda tahu mana belinya mana jualnya.

Asas 02 September 2020 #technical