"Bull" dan "bear" seringkali menjadi haiwan-haiwan simbolik dalam pasaran saham. Apakah maksud ia sebenarnya? Bagaimana jargon tersebut mula digunakan?

"Bull market" menggambarkan pasaran yang harganya sedang meningkat naik atau ke atas. "Bear market" menggambarkan sebaliknya, harga pasaran yang menurun ke bawah. Untuk mudah, kita ingat sahaja yang seladang atau lembu bila menyerang ia menanduk ke atas. Beruang pula menghayun kaki depannya ke bawah mencakar mangsa.

"Bull" juga boleh digunakan untuk mewakili orang-orang yang cenderung untuk membeli dan "bear" untuk para penjual. "Bull menguasai" atau "bear menguasai" menggambarkan siapa yang lebih ramai atau lebih kuat. "Bullish" atau "bearish" pula merujuk pada sentimen sama ada harga dilihat akan meningkat atau menurun.

Pakar bahasa mengatakan penggunaan terma "bear" datang dari peribahasa Inggeris yang menyebut "don't sell the bear's skin before one has caught the bear", ataupun "jangan jual kulit beruang sebelum beruangnya ditangkap". Merujuk pada perbuatan peniaga kulit beruang sekitar kurun ke-18 dahulu yang menjual kulit beruang yang dipinjam dari orang dengan sesuatu harga, dengan harapan ia dapat membeli kulit beruang lain dari pemburu dengan harga lebih rendah untuk pulangkan. Penggunaan "bull" juga muncul pada sekitar waktu yang sama, yang digunakan sebagai lawan yang secocok dengan "bear".

Sebagai pedagang dan pelabur, kita tidak perlu melihat terma bull dan bear ini dengan konotasi yang positif atau negatif. Jadikan ia sebagai sebahagian dari tatabahasa kita dalam menggambarkan pasaran. Sama ada market sedang bull atau bear menentukan teknik berbeza dalam permainan kita. Dalam ketika bull market kita cari saham-saham bermomentum tinggi untuk kita beli dan jual pada harga lebih tinggi. Dalam pada bear market kita cuba cari saham-saham syarikat yang kukuh dan berkualiti tinggi yang boleh dibeli pada harga diskaun.

Dalam market bull atau bear masih ada ruang untuk kita buat keuntungan. Tenang-tenang sahaja... Lengkapkan diri dengan ilmu pengurusan risiko yang betul. Jangan kita ditanduk seladang atau ditampar beruang sudah.

Asas 09 September 2020