Apakah perbezaan antara trader (pedagang) dan investor (pelabur) saham? Ada beza ke? Untuk memahaminya kita perlu lihat pada tempoh masa saham dipegang atau jenis teknik-teknik yang digunakan.

Bila kita sebut tentang trader saham, biasanya ia dimaksudkan individu atau pihak yang membeli saham kemudian menjualnya dalam masa yang singkat. Singkat mungkin bermaksud dalam beberapa bulan, minggu, atau mungkin dalam sehari sahaja. Ada beberapa pembahagian lagi cara trading secara singkat ini seperti swing, day trading, scalping dan sebagainya yang memperincikan lagi tempoh masa jual beli tersebut.

Investor pula biasanya merujuk pada yang memegang saham untuk jangka masa panjang, mungkin lebih dari setahun. Mereka boleh jadi seperti syarikat-syarikat dan bank pelaburan serta pengurus-pengurus unit amanah. Atau mungkin juga pelabur individu yang tidak mahu menyimpan di bank dan ingin menggandakan sendiri wangnya namun tidak mahu menyerahkan nasib kepada pengurus unit amanah.

Ada juga yang yang mendefinasikan trader dan investor ini berdasarkan teknik analisa yang digunakan. Trader lebih banyak menggunakan analisa teknikal (technical analysis) iaitu menggunakan chart untuk menentukan saham mana yang ingin dibeli, bila waktu pembelian yang sesuai, dan bila pula perlu dijual. Kadangkala trader begini tidak melihat pun sama ada syarikat itu bagus atau tidak, cukup hanya bergantung pada corak dan pergerakan harga saham.

Manakala investor lebih cenderung merujuk kepada analisa fundamental (fundamental analysis). Iaitu melihat kepada prestasi dan pertumbuhan syarikat melalui angka-angka yang tercatat dalam penyata-penyata kewangannya, sifat perniagaan yang diceburi, pasukan pengurusan serta lembaga pengarah dan sebagainya. Ini untuk mencari syarikat yang betul-betul kukuh dan berdaya maju supaya wang yang dilaburkan dapat mendatangkan dividen atau digandakan nilainya.

Untuk diri kita sendiri adalah penting untuk kita tetapkan objektif yang mana kita nak jadi: trader atau investor. Kalau mahu jadikan saham ini sumber pendapatan atau duit poket tiap-tiap bulan, jadilah seorang trader. Jika mahu jadikan ia instrument menggandakan harta kekayaan anda, jadilah investor. Teknik-teknik dan pengurusan risiko antara keduanya berbeza. Jangan nanti ada yang salah teknik, mula-mula nak jadi trader tapi kemudian terciduk jadi investor jangka masa panjang.

Asas 11 September 2020